WELCOME TO SARAWAK TEACHERS' UNION SAMARAHAN DIVISION

Tuesday, March 2, 2010

Murid dakwa guru cakar pipi
KANGAR 2 Mac (Utusan Malaysia) –
Seperti murid Tahun Satu yang lain, Zaidi Putra Zakaria, 7, begitu teruja untuk ke sekolah, sejak sesi pembelajaran dibuka awal Januari lalu.Walaupun pernah sekali dia diserang demam, kanak-kanak itu tetap bersemangat untuk pergi ke sekolah.Namun, apa yang berlaku pada 23 Februari lalu, sedikit sebanyak telah menyentap semangat kanak-kanak itu untuk pergi ke sekolah.Bapa murid itu mendakwa, anaknya itu kini fobia untuk pergi ke sekolah setelah pipinya dicakar oleh seorang guru perempuan sebuah sekolah rendah di Sanglang.Menurut Zakaria Kasa, 39, dia kesal kerana dimaklumkan bahawa kesalahan yang dilakukan oleh anaknya itu hanya kerana terlupa menyiapkan kerja sekolah yang diberi oleh guru berkenaan.Zakaria mendakwa, dia dihubungi oleh pihak sekolah pada pukul 8.45 pagi minggu lalu, meminta supaya datang ke sekolah setelah anak lelakinya itu mengalami luka di pipi kanan.“Saya nampak ada kesan cakar sepanjang kira-kira empat sentimeter di pipi kanan anak saya tetapi ketika ditanya, anak saya hanya mendiamkan diri,” katanya kepada para pemberita di sini semalam.Zakaria yang berasal dari Kampung Sungai Belati, Simpang Empat berkata, dia kemudian membiarkan anaknya meneruskan persekolahan kerana Zaidi Putra mempunyai kelas tuisyen di sekolah itu sehingga pukul 2 petang.“Namun pada sebelah petang, ketika semua warga sekolah itu pulang barulah Zaidi Putra memberitahu bahawa pipinya dicakar oleh guru perempuan tersebut,” katanya.Setelah mengetahui punca kejadian tersebut Zakaria berkata, dia bergegas bertemu seorang guru sekolah berkenaan, namun dia kecewa apabila guru berkenaan memberitahu anaknya berbohong dan luka itu dibuat sendiri oleh anaknya.“Guru tersebut memberitahu bahawa luka itu dibuat sendiri oleh anak saya iaitu dengan menggores zip yang terdapat pada bekas menyimpan pensil ke pipi,” dakwanya.Tidak berpuas hati dengan tuduhan itu, Zakaria bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Simpang Empat pada pukul 5.55 petang hari yang sama.Menurut Zakaria, dia terkejut apabila guru besar sekolah itu ingin memohon maaf beberapa hari kemudian sedangkan pada awal kejadian, pihak sekolah menafikan tindakan guru berkenaan.Malah dia juga berasa terkilan kerana guru yang terlibat dalam kejadian itu tidak tampil sendiri untuk memohon maaf dengan alasan sedang mengikuti kursus.Berikutan itu, dia membuat keputusan untuk memberhentikan persekolahan anak-anaknya di sekolah itu kerana tidak lagi menaruh kepercayaan terhadap pentadbiran sekolah tersebut.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Supritendan Abdul Rahman Mohd. Noordin ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut dan kini sedang menjalankan siasatan.
Kata Pengetua:
Kita perlu sedar bahawa zaman sudah berubah. Membuat laporan polis sudah menjadi lumrah; saman menyaman sudah menjadi-jadi. Oleh itu, kita harus bertindak mengikut perubahan tersebut. Oleh itu, saya akan selalu mengingatkan para guru supaya tidak mengambil tindakan fizikal yang tidak dibenarkan terhadap pelajar. Niat yang baik tidak cukup untuk mempertahankan diri kalau kita disaman di mahkamah.

No comments: